Regatta Lepa merupakan acara yang diadakan setiap tahun di Semporna, ianya dikelolakan oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan & Alam Sekitar Sabah bersama-sama dengan Lembaga Pelancongan Sabah dan Pejabat Daerah Semporna.
Ianya telah disambut sejak sekian lama, dimana kali pertama dianjurkan secara rasmi adalah pada tahun 1962. Ketika itu ianya dikenali sebagai "Festival Tamu Besar Semporna" dan diadakan setiap tahun sebelum ianya terhenti seketika pada tahun 1965.
- Baca Selanjutnya 👉 Tamu Besar Semporna
Sehinggalah pada tahun 1994 festival tersebut telah diperkenalkan kembali dan namanya telah dijenamakan semula kepada "Regatta Lepa" hasil daripada idea Yang Dipertua Negeri Sabah ketika itu iaitu Tun Datuk Seri Panglima Haji Sakaran Dandai yang juga anak jati Semporna.
Kemudian sewaktu pemerintahan PBS ianya telah dilaksanakan oleh Datuk Askalani Abdul Rahim yang ketika itu menyandang sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sabah.
Diadakan setiap tahun dalam bulan April. Ketika mula diperkenalkan pesta ini hanya disambut di peringkat daerah Semporna sahaja. Oleh kerana sambutan pesta ini yang amat menggalakkan maka pesta ini kemudiannya diadakan dan disambut di peringkat negeri.
Akhirnya pada tahun 2003, Kerajaan Malaysia telah mengambil pesta ini dan dimasukkannya ke dalam kalender 'Pesta Air Malaysia' yang mana seterusnya menjadi salah satu acara tahunan bagi negara Malaysia.
Sambutan pesta ini biasanya akan dijalankan selama 2 hingga 3 hari dan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Acara Laut dan Acara Pentas Budaya.
Acara laut diadakan di tepi pantai manakala acara pentas budaya pula di adakan di Padang Pekan Semporna yang membolehkan pengunjung melihat persembahan kebudayaan tempatan dari suku kaum Bajau Semporna.
Antara aktiviti yang akan dijalankan semasa acara itu berlangsung para pengunjung dapat melihat pelbagai acara yang menarik menerusi acara Sanggom Maglami-lami termasuk persembahan koir, pertandingan pemilihan “Budjang Manis & Lalla Dorogan”. Terdapat juga acara perarakan Tanglung berkonsepkan Lepa oleh pelajar-pelajar sekolah di Semporna.
Hari berikutnya menjanjikan aktiviti yang menarik , termasuklah tarikan utama acara ini iaitu pertandingan dan perarakan masuk Lepa cantik dan Lepa tradisi ke dataran Regatta Lepa di samping acara akhir sukan laut seperti pertandingan kayak, pertandingan tarik tali atas perahu serta terdapat juga pameran-pameran dari Jabatan dan Agensi serta pameran kraftangan yang akan berlangsung dari pagi hingga petang.
Manakala, pada malam penangguhan acara (Malam Ke-3), akan berlangsung pengumuman dan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang Pertandingan “Budjang Manis” dan “Lalla Dorongan”, serta pengiktirafan juara-juara dalam pertandingan “Lepa Cantik dan Lepa Tradisi”.
Malam itu juga akan dimeriahkan dengan persembahan oleh artis tempatan dan jemputan, menjelang penutupan yang hebat dengan persembahan bunga api.
Regatta Lepa merupakan salah satu medium yang sangat penting dalam memperkenalkan dan mempromosi kesenian, kebudayaan, dan adat suku kaum Bajau di Pantai Timur Sabah selain salah satu cara untuk menarik para pelancong dan mempromosikan Daerah Semporna sebagai salah satu tempat penting pelancongan.
Ianya juga umpama perayaan tahunan bagi masyarakat Bajau di Pantai Timur Sabah, untuk makluman bermula tahun 2023 sambutan Regatta Lepa telah diubah ke bulan November.
Catat Ulasan