Kata-Kata Aluan...
Cerita rakyat ialah sebuah cerita yang berasal daripada masyarakat masa lalu disampaikan dan diturunkan daripada satu generasi kepada generasi lain secara lisan atau bertulis. Ianya mengandungi khazanah yang kaya dengan nilai-nilai berkaitan dengan pola budaya, gambaran kehidupan orang terdahulu, hal-hal berkaitan dengan sejarah, para perwira dan kisah yang penuh dengan nilai-nilai murni yang menjadi pengajaran dan tauladan
Begitu juga hal yang sama berlaku terhadap masyarakat yang tinggal di Daerah Semporna, para penghuninya juga terdiri daripada penduduk yang sudah sekian lama tinggal dan menetap di Daerah Semporna dimana terdapat pelbagai cerita-cerita rakyat yang telah disampaikan secara turun temurun daripada orang terdahulu kepada para pewaris dan anak cucu mereka.
Maka timbullah idea dimana pihak kami Semporna Mari cuba mengumpulkan cerita-cerita tersebut untuk dijadikan sebagai sebuah koleksi. Tidak dinafikan bahawa pelbagai cabaran perlu ditempuhi dalam usaha mengumpulkan bahan-bahan cerita, namun dengan keizinan ALLAH SWT dan nekad azam kami semoga akan terdapat banyak cerita rakyat di Semporna yang mampu kami kongsikan kelak.
Mudah-mudahan koleksi dan sinopsis Cerita Rakyat Semporna ini akan dapat dimanfaatkan oleh para pembaca dan generasi dimasa akan datang.
Memang kami sedari segala kelemahan dan kekurangan dalam mengumpul koleksi kumpulan cerita-cerita rakyat ini. Namun kami juga manusia biasa tidak lari dari melakukan kesalahan, moga usaha ini dapat memelihara cerita-cerita rakyat Semporna ini daripada pupus ditelan zaman memandangkan terlalu ramai pihak yang sudah mula melupakan dan meminggirkannya.
Budi bicara pembaca amat kami alu-alukan jika terdapat salah dan silap tolong maafkan kami, teguran yang membina amat digalakkan. Untuk sebarang pertanyaan ataupun aduan bolehlah hubungi kami di Semporna Mari.
Untuk makluman Cerita Rakyat Semporna adalah merupakan sebuah koleksi cerita berkisarkan tentang cerita-cerita rakyat tempatan di Semporna yang diperolehi melalui sumber bertulis ataupun lisan. Semua cerita tersebut telah diolah dan ditulis semula menjadi sebuah kisah pendek (sinopsis) mengikut kefahaman pihak kami Semporna Mari bagi memastikan kesemua sinopsis cerita-cerita tersebut bersesuaian menjadi sumber bacaan untuk tatapan pelbagai peringkat umur dan lapisan masyarakat. Walaubagaimanapun demi menghargai dan menghormati, sumber dan penulis asal turut kami sertakan
Sekian Terima Kasih,
- Disediakan Oleh Admin Semporna Mari
Catat Ulasan