Ada beberapa kisah mitos popular mengenai asal-usul pulau itu yang menarik dan salah satunya adalah "Kisah Kasih Sayang Tiga Beranak". Pulau terbentang luas mirip manusia berbaring itu boleh dilihat dengan jelas dari persisiran laut pekan Semporna dan dari puncak Bukit Tengkorak.
Cerita lisan yang diperoleh daripada penduduk setempat mendakwa pasangan suami isteri, iaitu Tatagan dan Gaya, sangat menyayangi anak tunggal mereka iaitu Bohey Dulang sehingga tidak sanggup untuk berpisah walaupun menyedari hidup mereka akan berakhir dengan kematian.
Ketika usia meniti senja, pasangan itu sangat khuatir tiada siapa bakal menjaga Bohay Dulang yang dikatakan berusia 18 tahun dan belum berumahtangga.
Pelbagai ikhtiar dilakukan termasuk mahu mengahwinkan Bohay Dulang tetapi ditolak si anak dengan alasan tidak mahu membahagikan kasih sayangnya kepada orang ketiga. Bohay Dulang yang kononnya mempunyai paras menawan dan segak menjadi kegilaan ramai wanita tetapi anak muda itu mengbadikan cintanya hanya kepada ibu bapanya.
Alasannya adalah kerana dia merasa bahawa kasih sayang ibubapa tidak seharusnya dikongsi dengan orang lain dan jika beliau berumahtangga, sudah pasti ia menyebabkan mereka berpisah kerana terpaksa untuk membina hidup baru.
Hari berganti hari, tiga beranak itu cuba mencari penyelesaian terbaik untuk bersatu selamanya dengan apa cara sekali pun. Bagaimanapun, mereka menolak pilihan untuk membunuh diri kerana ia adalah pantang larang nenek moyang.
Pada ketika itu Agama Islam belum lagi sampai ke Semporna atau dikenali, Tongtalun dan penduduknya masih lagi mengamalkan kepercayaan animisme. Tatagan dan Gaya hanya dikurniakan cahaya mata selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga, sekali gus mahu hidup lama untuk membesarkan anak kesayangan mereka dan melihat perkembangan hidupnya.
Mengikut cerita, pasangan itu nekad untuk menemui bomoh supaya mereka dapat diubah menjadi pulau. Sebelum ketiga-tiganya bertukar menjadi pulau, Tatagan dan Gaya menyerahkan semua harta kepada Bohey Dulang sebagai bukti kasih sayang serta mengharapkan anak mereka masyhur pada masa hadapan.
Dipercayai kerana itu, Pulau Bohey Dulang memiliki keistimewaan tersendiri menerusi pemandangan cantik di darat dan dasar laut yang kini menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.
Kisah ini hanyalah sebuah mitos yang dihikayatkan oleh penglipur lara lebih 100 tahun lalu. Pulau Bohey Dulang merupakan salah satu tarikan utama destinasi pelancongan yang terdapat di Daerah Semporna selain Pulau Sipadan umumnya.
Catat Ulasan