Selamat Menyambut Regatta Lepa 2024 Kali Ke 29

Serangan Pengganas Di Kampung Sinallang Semporna


“Apa mau jadi jadilah. Kalau mati... matilah aku hari ini,” kata Almasi Ansyah, 27, pemuda Kampung Sinallang Lama, Semporna, Sabah.

Itulah tekad anak muda yang mula-mula menerkam Pengganas Kiram bersama abangnya, Boi Ansyah, 29, dan Mohd Saparudin Abdul Hatim, 33, dalam kejadian penduduk kampung itu ditawan seorang lelaki pada 3 Mac 2013.

Sinar Harian yang berkesempatan berkunjung ke kampung itu melihat penduduknya masih lagi dalam kebimbangan terutamanya menerima tetamu yang tidak mereka kenali ekoran insiden pencerobohan bersenjata yang dilancarkan pengganas Kiram.

Menceritakan peristiwa pagi Ahad itu, Almasi bersama 200 penduduk Kampung Senallang Lama dikejutkan dengan teriakan seorang lelaki yang berusia 50an, ‘akulah yang menembak mati polis malam tadi’ yang turun dari arah sebuah bukit sambil membawa rifal M16 memerintahkan penduduk kampung berhimpun di dalam masjid kampung itu.



Almasi yang sedikit pendiam berkata, di dalam masjid kampung itu, lelaki tersebut dilihat sedang menelefon seseorang berkemungkinan rakannya yang juga pengganas Kiram.

“Kami menjadi takut melihat lelaki itu seperti tidak waras dan mengarahkan kami semua keluar dari rumah dan berkumpul di masjid.

“Kanak-kanak dan wanita menangis ketakutan... lebih-lebih lagi lelaki separuh abad itu melepaskan satu das tembakan ke lantai dalam masjid,” katanya.

Menurutnya, lebih kurang sejam dikurung, penduduk kampung tersebut kemudiannya diarahkan berjalan menuju ke sebuah bukit kira-kira satu kilometer dari masjid itu tanpa ada sedikit pun belas kasihan. Ada orang tua dan kanak-kanak yang tidak larat berjalan dipaksa juga berjalan sejam lamanya sehinggalah mereka tiba di sebuah pondok di kaki bukit yang tingginya kira-kira 300 meter.

“Saya lihat lelaki itu duduk di bawah pokok nangka seperti menunggu rakannya. Ketika itulah saya bersama abang dan Mohd Saparudin mula merancang untuk bertindak. 


Almasi menunjukkan tempat dia dan abangnya mengambil kedudukan sebelum melakukan serangan ke atas lelaki bersenjata itu


Serang Beramai-Ramai

“Kami mengambil kedudukan masing-masing di mana saya duduk di hadapan sebelah kiri. Abang saya di sebelah kanan dan Saparudin di sebelah belakang menunggu peluang untuk melakukan serangan,” katanya.

Almasi berkata, tidak berapa lama selepas itu, lelaki yang mengacukan M16 ke arah orang kampung meneguk minumannya.

Ketika pengganas Kiram itu hendak meletakkan botol minumannya, masa itulah mereka bertiga serentak menyerang lelaki tersebut.

“Mujurlah saya dapat merampas senjata di tangannya, manakala abang saya dapat melepaskan tumbukan ke arah mukanya manakala Saparudin menendang dari arah belakang sehingga dia rebah.

“Apabila rebah, penduduk kampung yang ketakutan pada mulanya, terus menyerang dan memukul lelaki itu dengan kayu dan batu... malah wanita dan kanak-kanak juga turut memukul pengganas Kiram itu seperti melepaskan marah,” katanya.


Datuk Seri Shafie Apdal melawat tempat kejadian di depan matanya sendiri.


Menurutnya, tidak berapa lama selepas itu lelaki tersebut tidak lagi bergerak dan apabila diperiksa lelaki itu sudah tidak lagi bernyawa menyebabkan penduduk kampung yang ditawan melarikan diri dan segera melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.

Ketika ditanya apa yang menyebabkan dia berani bertindak sedemikian, Almasi berkata, dia yang pada awalnya takut, secara tiba-tiba menjadi berani apabila melihat kanak-kanak dan wanita menangis ketakutan.

"Mujurlah rancangan kami untuk menyerang lelaki itu berjaya. Sekiranya gagal mungkin ramai penduduk yang menjadi korban pengganas Kiram yang sehari sebelum itu membunuh enam anggota polis dalam satu serang hendap di Kampung Air Simunul.

“Selepas kejadian itu, ramai penduduk kampung melarikan diri kerana bimbang rakan lelaki itu datang semula dan membalas dendam sehinggalah pasukan keselamatan mengisytiharkan kampung itu selamat,” katanya.


Pengganas Kiram dikatakan turun dari arah bukit ini dan mengugut penduduk kampung


Insiden Pencerobohan

Sementara itu, Saparudin melahirkan kesyukuran kerana mereka terselamat dalam insiden tersebut.

Tetapi sehingga kini mereka masih lagi tinggal dalam kerisauan dan mengharapkan pihak polis meningkatkan kawalan di kampung itu.

“Jarak kampung ini dengan Simunul bukannya jauh sangat, kami bimbang tentang keselamatan anak isteri kami yang masih trauma dengan kejadian tersebut,” katanya.

Kejadian yang berlaku di Kampung Senallang Lama ini merupakan satu daripada insiden pencerobohan pengganas Kiram yang menuntut Sabah daripada Malaysia.

Malah pada 2 Mac 2013, kumpulan pengganas Kiram telah menyerang hendap anggota polis di Kampung Air Simunul sehingga mengorbankan enam perwira negara.

Tindakan yang dilakukan oleh anak jati kampung itu adalah atas rasa tanggungjawab untuk memastikan penduduk kampung itu dapat diselamatkan sebelum menjadi mangsa pengganas Kiram yang mahukan mereka dijadikan tebusan.

Keberanian yang ditunjukkan oleh Almasi, Boi dan Saparudin sewajarnya menjadi contoh kepada golongan anak muda bagaimana kedaulatan negara ini sewajarnya dipertahankan meskipun terpaksa membahayakan nyawa sendiri.

  • Sumber Sinar Harian

Komen

Terbaru Lebih lama