Muzium Nisan Purba Di Pulau Omadal


Pulau Umaral (Omadal) adalah merupakan sebuah pulau kecil di perairan Semporna yang merupakan titik penting sejarah di daerah Semporna. Ini adalah kerana Pulau Omadal merupakan tempat permulaan bagi suku kaum bajau yang mendiami daerah Semporna.

Namun ramai yang tidak tahu bahawa terdapat sebuah muzium mini yang telah dibina terletak di pulau tersebut dan ianya dikenali sebagai Muzium Warisan atau Muzium Nisan Purba.


Muzium ini dibina atas kesedaran pihak kerajaan bahawa pentingnya untuk menjaga sejarah seni bina dan ukir yang telah sekian lama wujud yang bermula di sini.

Ianya adalah merupakan sebuah muzium mini yang terletak dibawah seliaan Jabatan Kementerian Sabah dan dibina hasil usaha Datuk Jaujan Hj Sambakung (SU Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal)


Sesuai dengan namanya sebagai Muzium Nisan Purba, didalamnya memang terdapat banyak batu-batu nisan (sunduk) yang diperbuat daripada pelbagai jenis kayu, batuan dan kulit kerang telah dipamerkan disini.

Muzium ini juga banyak menyentuh tentang kehidupan masyarakat bajau Semporna yang terkenal dengan kesenian mengukir kayu dan batu nisan yang dapat dilihat dengan kesan-kesan peninggalan yang terdapat di sekitar Pulau Omadal.


Walaupun saiz muzium ini kecil dan terletak jauh dari tanah besar pekan Semporna namun ianya merupakan salah satu aset penting kerana di sini banyak menyimpan khazanah barang dan sejarah lama seni ukiran masyarakat bajau Daerah Semporna.

Masuk adalah percuma dan di buka pada setiap hari tetapi tidak ramai yang pernah menjejakkan kaki ke sini disebabkan muzium ini yang terletak di Pulau Omadal dan jauh dari kawasan Bandar Semporna.

Komen

Terbaru Lebih lama