Selamat Menyambut Regatta Lepa 2024 Kali Ke 29

Pertunjukan Kereta Lepa Berhias Semporna


Pesta Regatta Lepa adalah merupakan sebuah festival air yang disambut setiap tahun secara besar-besaran di Daerah Semporna. Ianya disambut setahun sekali selalunya pada bulan April dan akan diadakan selama 3 hari. Acara Lepa Tercantik dan Perarakan Lepa merupakan dua acara rutin tahunan setiap kali Regatta Lepa disambut.

Salah satu acara menarik yang berkait rapat dengan dua acara ini adalah terdapatnya persembahan dan pertandingan perarakan Kereta Lepa Berhias. Acara ini diadakan bagi memilih kereta lepa berhias yang paling cantik dimana para pemenang akan berpeluang membawa pulang hadiah berupa wang tunai, trofi dan juga sijil. 


Biasanya pemenang akan dipilih berdasarkan hiasan seperti Sambulayang, persembahan Tarian Igal-Igal yang diiringi dengan alunan muzik tradisional masyarakat Bajau dan yang paling penting adalah daya kreativiti para peserta dalam menghasilkan dan menghiasi kereta lepa berhias tersebut agar kelihatan cantik dan menarik.

Lepa adalah merupakan tema utama untuk reka bentuk setiap kereta lepa berhias yang dipertandingkan, oleh itu Tanglung-Tanglung seakan tapak sulaiman, ikan dan pelbagai hidupan laut yang mengiringi sepanjang perarakan kereta lepa berhias menggambarkan Lepa-Lepa tersebut seperti sedang berlayar diatas lautan. 


Selalunya acara ini akan diadakan pada waktu malam, jalan-jalan utama sekitar kawasan Bandar Utama Semporna akan ditutup untuk sementara waktu bagi memberi laluan kepada semua Kereta Lepa Berhias berarak menuju ke dataran utama ( Padang Pekan Semporna ) kemudian berkumpul di situ.

Sepanjang jalan akan dihiasi dengan pelbagai cahaya lampu yang penuh warna-warni dengan puluhan ribu pengunjung dan pelancong dari dalam dan luar Daerah Semporna.

Komen

Terbaru Lebih lama