Kitab Perlayaran Kuno Sampang Bulan
Adalah merupakan sebuah kitab kuno
Halaman 1
Menjelaskan tarikh yang sesuai dan tidak sesuai untuk melakukan sesuatu pelayaran menggunakan bulan-bulan islam yang bermula dengan bulan Muharram dan diikuti oleh bulan Safar, Rabiulawal, Rabiulakhir, Jamadil-awal, Jamadil-akhir, Rejab, Syaaban, Ramadhan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhaji ( Zulhijjah ) di sebelah kanan.
Manakala di sebelah kiri pula menjelaskan keadaan pelbagai cuaca iaitu cuaca yang baik, berangin, hujan dan angin kuat.
Dalam kitab pelayaran ini, Cuaca Baik ditandakan dengan Simbol O, Cuaca Berangin dengan Simbol d, Hujan Lebat dengan Simbol Q dan Cuaca Hujan Berserta Angin Kuat dengan Simbol ? dalam kiraan 30 hari dalam setiap bulan.
Halaman 2 & 3
Halaman ini pula menjelaskan untung rugi dan kesesuaian masa untuk melakukan berasaskan Ilmu Falak Bangsa Bajau iaitu Sains Rakyat sekiranya terjumpa atau bermimpi Haiwan, Benda dan Mimpi yang berkaitan.
Pada halaman kedua bahagian atas ini telah ditulis satu simbol berbentuk perahu yang melambangkan bahawa bahagian halaman ke-2 dan ke-3 ini adalah panduan kepada para pelaut untuk tujuan pelayaran.
Kedua halaman tersebut terbahagi kepada dua bahagian iaitu nama-nama Binatang, Benda dan Mimpi di sebelah kanan dan manakala di sebelah kiri pula adalah simbol-simbol yang menjelaskan apa akan berlaku atau terjadi sekiranya menjalankan aktiviti pelayaran.
Berdasarkan kepada halaman ke-2 dan ke-3 ini menunjukkan tiadanya penggunaan elemen-elemen laut untuk dijadikan perlambangan kepada bulan dan ini sekaligus menunjukkan bahawa pemikiran masyarakat pada waktu itu masih lagi dipengarui oleh Alam Darat yang dapat dipersekitarannya.
Bahagian kanan halaman ke-2 hingga 4 ini dimulakan dengan nama binatang Kuda dan diikuti Kijang, Harimau, Kucing, Biawak, Kerbas, Kibas, Lembu, Anjing, Naga, Kambing, Mayang, Singa, Babi, Belalang, Lipan ( Batang Kayu ), Mimpi Hantu, Mimpi Jumpa Orang, Timbalun, Tulang, Isi Daging, Gelang dan Burung Garuda.
Halaman 3
Dengan memadankan antara nama Binatang, Benda dan Mimpi dengan maksud simbol-simbol tersebut mendapati sekiranya pelaut bertemu atau bermimpi Kuda, Kijang, Harimau dan Anjing membawa maksud tidak sesuai untuk melakukan pelayaran kerana dihujungnya diakhiri dengan Simbol Harimau yang melambangkan pemangsa yang cukup digeruni.
Jika seseorang pelaut terjumpa atau bermimpi Kucing, Biawak, Kerbau, Kibas, Lembu, Naga, Kambing, Mayang, Singa, Babi, Belalang, Lipan, Batang kayu, Mimpi hantu, Timbalun, Tulang, Isi daging, Gelang dan Burung Garuda membawa maksud boleh melakukan perjalanan atau perlayaran tetapi masih tetap akan berhadapan dengan rintangan seperti Hujan Yang Kuat, Angin Kuat, Ombak Kuat dan sebagainya.
Berdasarkan halaman ke-2 dan ke-3 ini dapatlah disimpulkan bahawa pelaut akan menerima untung dan tidak akan berhadapan apa-apa rintangan dalam perjalanan mereka berlayar sekiranya bertemu atau bermimpi mahu berjumpa orang sahaja.
Halaman 4
Separuh daripada halaman 4 ini pula berkisar tentang angin dalam Ilmu Falak Islam yang terbahagi kepada 3 elemen iaitu Simbol Perahu, Simbol Bumi, dan Tulisan jawi.
Secara keseluruhannya halaman ini menjelaskan tentang konsep bumi atas nama Nabi Muhammad SAW dan arah tiupan angin mengikut pusingan bumi yang dimulakan dengan Angin Utara, Timur, Tenggara, Selatan, Barat dan kembali kepada Angin Utara semula yang disebut sebagai Hilaga.
Mengikut tafsiran ini, Angin Utara atau Hilaga yang berlaku antara tempah Angin Barat dan Angin Utara akan membawa ombak kuat dan tidak sesuai untuk pelayaran dan aktiviti penangkapan ikan.
Para pelaut biasanya akan dapat mengesan bila bermulanya Angin Utara, Timur, Tenggara, Selatan, Barat dan Angin Utara melalui tiupan angin, pergerakan awan, kelembapan udara pada waktu malam dan siang hari, kocakan permukaan laut dan sebagainya.
Pengetahuan dan pemahaman tiupan angin ini secara langsung telah membolehkan pelaut untuk merancang pelayaran terutamanya membabitkan perjalanan yang jauh seperti dari Pulau Bum-Bum ke lain-lain pulau di Selatan Filipina dimana jangka masa untuk turun ke laut dan masa yang sesuai untuk membaiki perahu kerana laut yang bergelora (Angin Utara).
Halaman 5
Bahagian halaman ini pula menjelaskan hari-hari dalam Takwim Melayu-Islam yang sesuai dan tidak sesuai untuk melakukan perjalanan atau pelayaran.
Terbahagi kepada dua bahagian iaitu nama hari-hari alam seminggu yang dimulakan dengan hari Jumaat dan diikuti oleh hari Sabtu, Ahad, Isnin, Selasa, Rabu dan hari Khamis.
Berdasarkan kepada halaman 5 ini menunjukkan para pelaut Bajau memulakan takwim mereka dengan hari Jumaat dan diakhiri pada hari Khamis yang membawa maksud betapa mulianya hari Jumaat berbanding hari-hari lain dalam takwim Melayu - Islam.
Selain itu halaman 5 ini juga menunjukkan hari Jumaat merupakan yang kurang sesuai untuk melakukan pelbagai aktiviti dan diperuntukkan untuk tujuan beribadat. Sementara itu hari Ahad, Selasa dan Khamis merupakan hari yang baik untuk menjalankan aktiviti kerana ditafsirkan akan beroleh keuntungan atau kebaikan.
Sementara itu, hari Sabtu dan hari Rabu pula ditafsirkan sebagai hari yang tidak membawa keuntungan atau kebaikan kepada ditafsirkan akan ditimpa pelbagai bahaya dan rintangan.
Halaman 6
Halaman ini pula menjelaskan tafsiran kebaikan dan keburukan melakukan sesuatu perjalanan atau perlayaran mengikut peredaran bulan yang dilambangkan dalam bentuk bulatan ( Bumi ) dan percaya bahawa adanya malaikat yang menjaga setiap bulan dan bulatan tersebut.
Berdasarkan kepada halaman 6 ini menunjukkan terdapat satu bulatan kecil dan satu lagi bulatan besar.
Simbol yang terdapat di dalam dan di luar bulatan kecil tersebut mewakili 12 bulan Islam yang bermula dari bulan Muharam hingga Zulhaji dan bulatan kecil yang memagar 6 simbol tersebut adalah mewakili Bumi.
Sementara itu terdapat lagi sebuah Simbol Bulan Sabit pada bahagian atas pada salah satu bulan di dalam bulatan ini yang bermaksud bulan Muharam ( Januari )
Berbeza dengan barat, Takwim Bulanan Warisan Sampang Bulan ini dibaca pada arah lawan jam iaitu bermula daripada Simbol Bulan Sabit dan ke kiri yang bermaksud bulan Safar ( Februari ) dan seterusnya.
Berdasarkan kepada tulisan dan simbol dalam bulatan kecil pada halaman 6 ini menunjukkan bulan ganjil berada dalam bulatan ( Bumi ) dan bulan genap pula berada di luar bulatan.
Dari segi tafsirannya bulan yang berada di luar bulatan ( Bumi ) iaitu bulan Muharam, Rabiul-Awal, Jamadil-Awal, Rejab, Ramadhan dan Zulkaedah yang membawa maksud bulan-bulan yang baik untuk melakukan perjalanan dan perlayaran.
Sementara itu di bulan Safar, Rabiul-Akhir, Jamadil Akhir, Syaaban, Syawal dan Zulhaji ditafsirkan sebagai bulan-bulan yang tidak sesuai untuk melakukan perjalanan atau perlayaran.
Berdasarkan kepada tulisan dan simbol pada bulatan besar ini pula melambangkan contoh 1 bulan daripada 12 bulan yang mempunyai beberapa simbol di dalam dan diluarnya.
Terdapat 5 simbol terdapat di dalam dan diluar bulatan ini yang mempunyai 8 petak di dalam bulatan ini dan persoalan mengapa 8 petak dan bukannya 7 petak jika ditafsir dari segi bilangan hari dalam seminggu tidak dapat di jelaskan.
Sumber :-
- Sejarah Pelayaran Borneo Oleh Dr Ismail Ali (Universiti Malaysia Sabah)
- Laut Bukan Pemisah Oleh Dr Ismail Ali (Universiti Malaysia Sabah) Utusan Borneo 2016
- Kitab Sampang Bulan The Bajau Laut Ancient Sailing Scripture In: International Seminar Merantau : imaging Migration In the Malay World (Universiti Malaysia Sabah)
Gambar :-
- Oleh Farahani Rosman
Catat Ulasan