Sangu - Kaedah Perubatan Tradisional Menggunakan Herba Yang Berkhasiat


Sangu adalah kaedah perubatan secara tradisional bagi masyarakat bajau yang menggunakan kolaborasi herba-herba berkhasiat seperti daun serai, lengkuas, daun kajabat, lukuluku, jaliangau, gaddung isi dan kemenyan yang digaul bersama dan direbus sehingga sebati pada suhu tinggi sehingga mengeluarkan kepulan wap.

Apabila kepulan wap tersebut telah mengeluarkan bau herba maka pesakit akan diubat dengan cara memakai selimut tebal dan berhadapan dengan Sangu agar kepulan wap tersebut terkena seluruh anggota badan. Aroma wap herba berfungsi untuk mengurangkan suhu badan yang panas ( Demam ).


Sangu hanya digunakan untuk kegunaan luaran sahaja dan bukannya untuk diminum. Setelah 3-5 minit Sangu tersebut akan dipanaskan semula sehinggalah pesakit mengeluarkan peluh. Sangu selalunya hanya boleh diguna pakai berulang kali selama 3 hari sebelum kandungan herbanya tidak lagi segar. 

Pada waktu dulu, Sangu merupakan salah satu penawar yang mujarab bagi mengubati sakit seperti demam bagi menurunkan suhu badan yang panas. 

Waktu yang sesuai untuk menggunakan Sangu adalah pada waktu pagi dan malam sebelum tidur. Selain untuk mengubati suhu badan panas, ianya juga berfungsi sebagai terapi untuk mengubati sakit kepala. 

  • Sumber Utusan Borneo 27 Julai 2017 - Mohd Afis Ismail

Komen

Terbaru Lebih lama