Penutupan selama sebulan itu sejajar dengan keputusan Jawatankuasa Pengurusan dan Penyeliaan Pulau Sipadan dan Ligitan. Keputusan ini telah dimaklumkan kepada semua pengendali pelancongan sejak dari bulan Mac tahun ini untuk memastikan bahawa tidak wujud masalah yang timbul dalam berurusan dengan para pelancong dari dalam dan luar negara.
Tujuan penutupan ini adalah untuk memastikan kesihatan dan pemulihan ekosistem pulau dan hidupan marin di kawasan tersebut selain mengurangkan gangguan manusia terutamanya yang disebabkan oleh para penyelam skuba.
Pulau itu membenarkan maksimum 237 pelancong sehari, dengan jumlah 474 selaman dan akibat dari penutupan ini pihak Taman-Taman Sabah akan kehilangan pendapatan daripada 14,220 permit menyelam.
Pulau Sipadan merupakan rumah kepada lebih 3,000 spesies ikan, dengan tempat menyelam yang popular seperti Barracuda Point, Drop-Off dan Gua Penyu. Bulan lalu, lapan individu bertuah telah bertemu dengan lebih 100 ikan lumba-lumba berhampiran pulau itu.
Memandangkan keunikan Pulau Sipadan, ia telah diiktiraf pada tahun 2000 sebagai salah satu daripada 77 formasi semula jadi yang paling luar biasa di peringkat global.
Catat Ulasan