Regatta Lepa merupakan acara yang diadakan setiap tahun di Semporna dan pada tahun ini, ianya dikelolakan oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah bersama-sama dengan Lembaga Pelancongan Sabah dan Pejabat Daerah Semporna.
Tema sambutan acara tahun ini adalah “Regatta Lepa: Lambang Perpaduan Masyarakat Madani”.
Seperti pada tahun-tahun sebelumnya, acara ini menawarkan pelbagai aktiviti yang menarik pada ketiga-tiga hari acara diadakan dan tarikan utama adalah Sukan Laut dan Perarakan Lepa Tradisi dan Lepa Berhias di samping acara Sangom Maglami-lami, Pertandingan Budjang Manis dan Lalla Dorongan, Pertandingan Tagungguh, persembahan warna warni kebudayaan masyarakat Bajau Laut, dan banyak lagi
Hari berikutnya menjanjikan aktiviti yang menarik , termasuklah tarikan utama acara ini iaitu pertandingan dan perarakan masuk Lepa cantik dan Lepa tradisi ke dataran Regatta Lepa di samping acara akhir sukan laut seperti pertandingan kayak, pertandingan tarik tali atas perahu serta terdapat juga pameran-pameran dari Jabatan dan Agensi serta pameran kraftangan yang akan berlangsung dari pagi hingga petang.
Manakala, pada malam penangguhan acara, akan berlangsung pengumuman dan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang Pertandingan “Budjang Manis” dan “Lalla Dorongan”, serta pengiktirafan juara-juara dalam pertandingan “Lepa Cantik dan Lepa Tradisi”.
Malam itu juga akan dimeriahkan dengan persembahan oleh artis tempatan dan jemputan, menjelang penutupan yang hebat dengan persembahan bunga api.
Acara ini tidak hanya merayakan warisan budaya, tetapi juga merangsang ekonomi tempatan dan mempromosikan Semporna sebagai destinasi pelancongan yang berkembang pesat.
Catat Ulasan