Selamat Menyambut Regatta Lepa 2024 Kali Ke 29

Kisah Seram Jururawat Bersiong


Sekitar 1982 dalam bulan Februari, kejadian mengerikan dan meremang bulu roma ini pernah berlaku di Hosiptal Besar Tawau. Seorang yang berbangsa Bugis, dalam lingkungan umur 50-an mengalami sakit teruk tetapi tidak juga menemui ajalnya sekalipun sudah nazak sejak beberapa hari sambil menyebut perkataan, “lemba, lemba”. 

Dalam bahasa Bugis lemba bermaksud ‘Pindah’ tetapi malangnya tidak ada seorang pun jururawat yang mengerti atau mahu melayan pesakit yang berada di penghujung nyawanya itu.

Keesokan harinya, pesakit itu menyebut lagi perkataan ‘lemba’ sambil menghulurkan sebelah tangan kanannya dan dengan pantas menggenggam tangan kanan jururawat yang merawatnya sambil menyebut ‘lemba’ berulang kali sehingga menghembuskan nafas yang terakhir.
Tanpa siapa sedari, rupa-rupanya pesakit Bugis tadi mempunyai ilmu yang mesti diturunkan atau dipindahkan ke tubuh orang lain sebelum boleh menghembuskan nafas terakhir kerana jika tidak dirinya akan tetap hidup walaupun tubuhnya telah mati. 

Agak malang bagi jururawat tersebut kerana segala ilmu pesakit tadi telah menyerap ke seluruh tubuhnya sehingga seluruh daerah Tawau telah menjadi kecoh apabila mengetahui kejadian tersebut menimpa terhadap seorang jururawat. 

Semasa jururawat tersebut ditugaskan ke wad bersalin, dia telah membidankan seorang wanita bersalin tetapi sebaik sahaja ternampak darah wajah jururawat tadi tiba-tiba berubah lantas mengeluarkan sepasang (Siong) iaitu taring daripada mulutnya seperti ‘Drakula’

Perempuan yang bersalin tadi terkejut dan menjerit "Hysteria" apabila melihat kejadian yang aneh itu untuk meminta pertolongan kerana ketakutan. Orang ramai yang mendengar jeritan seram itu bergegas datang menghampiri mangsa tersebut. 

Mereka bertambah seram dan kaku apabila terlihat mulut jururawat itu berlumuran darah, namun doktor bertugas segera membawa jururawat tersebut ke bilik kuarantin sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelak daripada jururawat tersebut bertindak lebih ganas. 

Ekoran daripada insiden tersebut, selang beberapa hari kemudian telah tersebar khabar angin bahawa dimana jururawat tersebut telah dipindahkan ke Hospital Daerah Semporna, namun kejadian serupa terus berlaku di Semporna.

Akhirnya, Jururawat tersebut dipindahkan ke Hospital Besar Lahad Datu namun kes yang serupa tetap berlaku lalu dipindahkan lagi ke Hospital Duchess of Kent Sandakan tetapi gagal untuk mengelak kejadian seram berkenaan daripada terus berlaku kerana Jururawat tersebut tidak sedar ketika menghisap darah pesakit. 

Saya masih ingat lagi, pada masa itu isteri saya baru mengandung anak kedua saya dan semakin sarat tetapi akibat daripada cerita yang dijaja dari mulut ke mulut, ramai ibu mengandung tidak berani lagi bersalin di Hospital Duchess of Kent Sandakan termasuklah isteri saya. Akibatnya, isteri saya terpaksa bersalin di Kampung Perpaduan BDC, di rumah kakak saya

Kata seorang penduduk Kg Perpaduan BDC yang kini menetap di Taman Mesra iaitu yang dikenali sebagai Encik Hassan Sidek. Selang sebulan selepas kejadian itu berlaku di Sandakan, kata Hassan. Jururawat terbabit yang berketurunan Kadazan ditukarkan ke Hospital Queen Elizaberth, Kota Kinabalu. 

Tetapi setelah itu tiada lagi kedengaran khabar beritanya. Betul atau tidak kisah ini, walaupun tidak ada bukti yang sahih namun kisah ini merupakan sebuah kisah yang penuh dengan tanda tanya kerana ianya pernah menjadi cerita buah mulut orang ramai pada waktu itu. 

  • Penulis Asal Shaimon S Jumadi

Komen

Terbaru Lebih lama