Apa Itu Lokot
Lokot atau ada juga mengenalinya sebagai Lukot merupakan salah satu makanan eksotik yang boleh didapati di Semporna, malah kini ianya lebih eksotik dan susah untuk ditemui berbanding Latok.
Rupa dan bentuknya seakan-akan mee dan selalunya mempunyai warna kehijauan dan berasal dari laut, oleh itu tidak hairanlah jika Latok mempunyai nama julukan sebagai anggur dari laut namun bagi Lokot pula ianya dikenali sebagai 'Mee Dari Laut'.
Banyak dan boleh ditemui di sekitar kawasan lagun ( kawasan air tenang dan kawasan air pasang surut ) selalunya berhampiran rumpai laut yang tumbuh liar. Tiadak hairanlah jika ramai yang beranggapan Lokot atau Lukot ini merupakan sejenis rumpai laut namun hakikatnya anggapan tersebut jauh meleset.
Sebenarnya ianya berasal daripada telur dari sejenis spesis slug laut ( gamat atau lintah laut ) yang dikenali sebagai Arnab Laut atau nama saintifiknya Dolabella Auricularia.
Cara Makan & Penyediaan
Lokot' atau Lukot ini mempunyai rasa seakan-akan seperti mee suhun, sama seperti Latok ianya akan dituai secara segar dari laut sebelum disediakan secara ringkas dengan mencampurkan beberapa bahan lain seperti lada, tomato, bawang, sedikit cuka, garam, limau dan akan dimakan secara mentah-mentah.
Ada juga yang memasaknya seperti Mee Goreng, atau dimasak secara rebus. Sangat sesuai dimakan bersama dengan semua kombinasi makanan lain seperti ikan rebus, kerang masak rebus, Telur Ikan, Bobohan dan lain-lain lagi.
Selain di Semporna, ianya juga boleh ditemui di sekitar Pantai Timur Sabah seperti di Kunak dan Lahad Datu kerana majoriti masyarakat Bajau dan Suluk memakan Lokot' atau Lukot. Selain itu segelintir masyarakat yang tinggal di kepulauan Filipina dan Indonesia juga mengenali dan memakannya.
Namun hari ini di Semporna, juadah ini sudah kian dilupai dan jarang untuk ditemui, malahan masyarakat yang menjual Lokot' atau Lukot' sudah berkurang akibat daripada kurangnya permintaan dan sumber Lokot' atau Lukot' itu sendiri.
Adapun mereka yang masih lagi mengamalkan makan mee laut ini haruslah turun sendiri untuk mencari semasa air laut sedang cetek.
Catat Ulasan