Selamat Menyambut Regatta Lepa 2024 Kali Ke 29

Cara Menuntut Ganti Rugi Terhadap Penunggang Motorsikal Yang Enggan Membayar Kerosakan Kenderaan Anda



Apakah perkara perlu anda buat jika penunggang motorsikal enggan membayar ganti rugi kerosakan kenderaan anda walaupun telah terbukti bersalah dan sebaliknya mereka memberi pelbagai alasan seperti tiada duit dan lain-lain lagi.

Dan bagaimana pula cara untuk pemilik kereta ingin mengemukakan tuntutan terhadap polisi insuran milik penunggang motorsikal jika individu tersebut Tidak Mempunyai Lesen, Tiada Cukai Jalan atau Tidak Mempunyai Insuran Pihak Ketiga

Persoalan lain yang timbul jika kesan kerosakan di kenderaan anda membabitkan jumlah yang besar, mampukah insuran motorsikal tersebut membayar kos baik pulih kenderaan anda. 

Lebih parah lagi jika pesalah berkeras untuk memilih atau lebih sanggup menerima hukuman saman di balai polis trafik daripada membayar jumlah kerosakan membabitkan kenderaan anda yang jauh lebih mahal. Ada juga yang berjanji kemudian hari akan menanggung dan mambayar ganti rugi tapi akhirnya hilang entah kemana.

Takkanlah setiap kali kemalangan disebabkan kecuaian orang lain, kita perlu mengeluarkan wang untuk menanggung sendiri kerosakan kenderaan yang dialami, walhal penunggang motorsikal tersebut sewenangnya lepas tangan dan hanya menerima saman tiada lesen, saman kerana kecuaian dan esok lusa mereka pula boleh memohon kompaun meminta denda tersebut dikurangkan kerana alasan yang sama tiada..... duit..... 

Pening bukan, so apakah tindakan yang wajar diambil ?

Pertama sekali anda perlulah pergi ke IPD Daerah kawasan masing-masing dan pergi ke kaunter untuk mendapatkan salinan penuh repot kemalangan. (bukan datang semula ke balai polis trafik tempat korang buat laporan okay) 

Ini adalah kerana selepas anda membuat laporan polis dan pegawai penyiasat trafik DO telah selesai menjalankan siasatan ke atas kes kemalangan membabitkan anda dan penunggang motorsikal.

Salinan repot akan dibekalkan serta merta atau tidak melebihi 3 hari bekerja manakala bagi rajah kasar dan gambar kemalangan adalah tidak melebihi 15 hari setelah membuat pembayaran sebanyak RM17.00



Borang 198

Setelah itu, pergi ke Mahkamah Majistret yang berhampiran tempat tinggal anda dan dapatkan Borang 198 untuk tuntutan RM 5000 ke bawah.

Borang 198 adalah borang tuntutan kecil / borang tuntutan hutang yang tidak perlukan khidmat peguam dengan syarat jumlah perlulah tidak melebihi daripada RM 5000

Jadi secara ringkasnya anda sudah mulai faham bukan, ini bukan langkah untuk menuntut pembayaran melalui insuran pihak ketiga, langsung tiada kaitan. 

Penunggang motorsikal cedera atau tidak tuntutan ini tetap akan berjalan, walaupun tidak mempunyai lesen, tiada cukai jalan mahupun tidak memiliki insuran pihak ketiga kerana ini adalah tuntutan HUTANG

Borang ini juga boleh digunapakai untuk menuntut hutang daripada sesiapa yang berhutang kepada anda. Okay selanjutnya kita teruskan...

Bawa Kenderaan Anda Ke Bengkel Yang Berdekatan

Bawa kenderaan anda ke bengkel yang terdekat untuk mendapatkan kos anggaran berapakah jumlah sebenar kerosakan yang dialami kenderaan milik anda akibat daripada kemalangan yang terjadi.

Anda mempunyai dua pilihan :- 
  • Pertama guna duit sendiri terlebih dahulu untuk baiki kenderaan anda atau...

  • Kedua dapatkan sahaja dokumen sebut harga jumlah kos anggaran kerosakan kenderaan anda (jika anda tidak berniat untuk membaikinya dalam masa terdekat)
(Yang paling penting adalah pastikan WAJIB dapatkan dokumen sebut harga/ resit pembayaran daripada bengkel menunjukkan jumlah sebenar yang harus dibayar oleh penunggang motor tersebut)

Tapi anda digalakkan untuk baiki kenderaan sendiri terlebih dahulu jika mampu, kerana kita tidak tahu kemudian hari adakah penunggang tersebut sedia bekerjasama ataupun tidak yang akan mengakibatkan proses tuntutan ini menjadi sedikit lambat.



Setelah selesai, kumpulkan atau kepilkan borang “Form 198”, Kertas Salinan Laporan Polis, Salinan Resit Pembayaran / Dokumen Sebut Harga dan kemudian bawa semuanya untuk diserahkan “submit” ke Mahkamah Majestrit tempat sama sebelum ini anda membuat laporan dan mengambil borang 198. ( di sana nanti akan ada pekerja mahkamah di kaunter yang akan memberi panduan selanjutnya )

Kemudian dalam tempoh masa 24 jam masa bekerja anda akan mendapat pengesahan email daripada mahkamah secara atas talian bahawa permohonan anda telah pun di terima dan disahkan.

Langkah Seterusnya

Setelah disahkan, muat turun borang yang disertakan dalam email yang anda terima tadi kemudian ini adalah salah satu langkah yang sangat penting dan Tolong Jangan Silap.

Melalui alamat yang tertera dalam kad pengenalan si penunggang motorsikal di surat laporan polis, gunakan alamat tersebut dan sila kirim borang yang dimuat turun tadi. (jika tahu alamat semasa tempat tinggal lagi baik)

PASTIKAN BORANG TERSEBUT HANYA BOLEH DISERAHKAN TERUS KE TANGAN (SERAHAN KENDIRI ) KEPADA PIHAK PENERIMA (DEFENDEN) ATAU MELALUI MELALUI POS DAFTAR PRABAYAR SAHAJA 

Setelah itu, bawa resit pos daftar prabayar sebagai bukti penerima telah menerima surat yang anda hantar atau ada bukti gambar / tanda tangan bahawa surat mahkamah tersebut telah anda serahkan secara serahan kendiri di tangan penerima ( Bukan Kepada Orang Lain Atau Pihak Ketiga )

Kemudian serahkan bersama Afidavit Penyampaian ( Borang 135 ) borang ini perlulah pengesahan dan diperakui oleh Pesuruhjaya Sumpah dan serahkan semuanya ke kaunter mahkamah.

Pada hari permohonan anda diterima pihak mahkamah dan disahkan, email yang anda terima sebenarnya telah disertakan dengan tarikh untuk sebutan pertama di mahkamah. Apa yang perlu anda buat adalah menunggu tarikh tersebut dan pastikan hadir ke mahkamah bagi prosiding kecil jika tidak proses ini akan DI BATALKAN.



Perlukah "Letter Of Demand"LOD

Hurmmmm... adakah perlu kita terlebih dahulu memberi peringatan kepada pihak defendan, sebelum membawa kes tuntutan melalui pengadilan di pihak mahkamah majistret ?

Melalui pengalaman dan cadangan Min, sebelum korang melakukan langkah-langkah tuntutan kecil yang telah min senaraikan diatas adalah lebih baik untuk korang hantar "Letter Of Demand" terlebih dahulu sebagai suatu amaran.

Ini adalah kerana selalunya apabila pihak defendan menerima surat amaran ini, mereka akan serta merta menukar fikiran, menghubungi dan berbincang mengenai bayaran ganti rugi kerosakan kemalangan yang terjadi sebelumnya. 

Mereka akan sedaya upaya akan cuba untuk mengelak ke mahkamah kerana tahu dan sedar jumlah yang perlu mereka bayar akan lebih tinggi.

Kerana selain ganti rugi yang wajib dibayar, mereka juga akan menanggung segala kos lain yang korang telah keluarkan termasuk jika mengambil khidmat peguam bagi kategori RM5000 ke atas berserta jumlah denda dan lain-lain lagi.

Perkhidmtan "Letter Of Demand" LOD atau juga dikenali sebagai surat tuntutan adalah komunikasi bertulis rasmi yang dikeluarkan oleh pihak (biasanya kreditor atau wakil mereka) kepada pihak lain (biasanya penyelesaian hutang) yang meminta pembayaran hutang atau pemenuhan tanggungjawab tertentu dalam jangka masa yang ditentukan.

Selalunya kita melantik seorang peguam untuk menulis mewakili kita untuk menyediakan dan menghantar "Letter Od Demand" LOD dan kadar caj yang dikenakan berbeza-beza mengikut harga yang ditetapkan oleh peguam untuk anak guamnya. Selalunya RM 500 kebawah (kalau pandai cari ada yang jauh lebih murah) 

Jika Defendan mengambil keputusan menyelesaikan masalah korang di luar mahkamah, perlulah dimaklumkan kos untuk pengeluran "Letter Of Demand" LOD wajib dan harus ditanggung oleh mereka (defendan) sebagai denda kerana keingkaran sebelumnya yang tidak mahu membayar ganti rugi yang memaksa korang mengeluarkan LOD tersebut.



Sedikit Kata-Kata Peringatan 

  • Pastikan anda di pihak yang betul, jika pihak pegawai penyiasat polis trafik telah mengeluarkan saman terhadap penunggang motorsikal kerana disahkan bersalah ianya akan banyak membantu.

  • Pastikan anda ada menyimpan gambar lokasi kemalangan, gambar kad pengenalan pemilik motorsikal, gambar kerosakan kenderaan anda dan gambar-gambar lain jika perlu seperti papan tanda lalu lintas (signboard), tanda atas jalan raya (road marking) di kawasan berhampiran kejadian kemalangan. Jika ada rakaman dashcam kereta lagi baik. 

  • Mungkin proses ini akan mengambil sedikit masa namun ianya tetap merupakan salah satu cara dan ikhtiar yang terbaik daripada menanggung kerugian 100% akibat kecuaian penunggang lain. Lambat laun sekurang-kurangnya duit akan dapat ditebus semula...

  • Jika jumlah kerosakan tidak besar Min cadangkan selesaikan cara baik dengan membuat rundingan, kerana kemalangan bukalah suatu perkara kita suka dan minta melainkan kecelakaan yang merugikan antara kedua belah pihak.

Selanjutnya anda bolehlah untuk ikut arahan pihak mahkamah kerana kes ini akan selesai dalam masa sehari sahaja pada hari yang sama prosiding kecil berjalan JIKA semua bukti berat menunjukkan defendan tersebut bersalah.

Pihak defendan akan diarahkan untuk membayar ganti rugi secara ansuran atau sekaligus. Jika tidak hadir ( Borang 172 ) akan dikeluarkan oleh pihak mahkamah untuk waran tangkap 

Sebarang pertanyaan jangan segan untuk tinggalkan komen di bawah, semoga bermanfaat dan banyak membantu korang.

Untuk makluman para pembaca, semua ini adalah berpandukan pengalaman saya sendiri dan atas nasihat peguam dalam menyelesaikan tuntutan kerugian kemalangan sebelum ini.

Komen

Terbaru Lebih lama