Selamat Menyambut Regatta Lepa 2024 Kali Ke 29

Misteri 7 Telaga Di Pulau Bohey Dulang


Coretan ringkas kali ini, Semporna Mari akan membawa pembaca berkongsi tentang sebuah misteri dimana ramai yang tidak tahu akan kewujudannya iaitu mengenai 7 Telaga air berbentuk dulang yang terdapat di kawasan Pulau Bohey Dulang.

Ianya terletak di pertengahan bukit di bahagian belakang menghadap ke Pulau Mantabuan. Untuk ke sana pendakian dan perjalanan menjanjikan pemandangan yang sangat menarik mengambil masa kira-kira 2 hingga 3 jam tempoh masa untuk pergi dan balik.

Ketujuh-tujuh telaga ini terletak di setiap ketinggian yang berbeza antara satu dengan lain dimana untuk ke telaga yang ke-7 kita perlulah mendaki terlebih dahulu. Setiap telaga ini juga mempunyai saiz yang berbeza dimana telaga yang ke-7 adalah yang paling besar yang mampu memuatkan 8 sehingga 10 orang dalam satu masa.


Pulau Bohey Dulang Mendapat Nama

Tahukah anda, Pulau Bohey Dulang sebenarnya mendapat akan namanya sempena daripada kewujudan 7 telaga yang misteri ini. Ketujuh-tujuh telaga ini digelar sebagai "Bohey Dulang" yang membawa maksud "Dulang Air" kerana rupa telaga tersebut seperti dulang yang berisi air. 

Dalam bahasa Bajau Pantai Timur Sabah, "Bohey" bermaksud air oleh itu "Bohey Dulang" bermaksud "Dulang Air" atau "Kolam Air".

Di hadapan Pulau Bohey Dulang terdapat sebuah lagun iaitu kawah yang terhasil daripada letusan gunung berapi purba kemudian membentuk gugusan pulau ( bibir gunung berapi ) terdiri daripada Pulau Bohey Dulang, Pulau Gaya dan Pulau Tatagan yang membentuk Taman Marin Tun Sakaran.


Masyarakat tempatan turut merujuknya sebagai ‘Pu Mattoa Lalla Atoli’ yang bermaksud ‘Sleeping Old Man’. Pulau ini mendapat jolokan tersebut disebabkan bentuknya yang seakan orang tua yang sedang tidur berbaring kelihatan dari jauh.


Mitos Dan Kisah Berkait Rapat Dengan Misteri 7 Telaga Di Bohey Dulang

Salah satu cerita mitos yang paling menarik di kawasan Bohey Dulang adalah kewujudan tentang 7 telaga ini yang dikaitkan dengan kisah lagenda Arung Salamiah iaitu seorang penari igal yang cantik rupawan sekitar abad ke-18 yang telah bersembunyi Pulau Bohey Dulang.


Selain itu, menurut orang-orang terdahulu dipercayai 7 telaga ini adalah tempat persinggahan puteri bunian untuk mandi-manda. Ketujuh-tujuh telaga ini juga pada waktu dulu setiap satunya dipercayai mempunyai warna yang berbeza-beza dan sangat cantik.

Sebenarnya terdapat banyak lagi khazanah yang sangat tinggi nilainya tersembunyi di Bohey Dulang seperti hidupan-hidupan dan tumbuhan unik selain kisah-kisah misteri seperti Gabbang Menjadi Batu, Kisah Anjing Menjadi Batu, Gua Di Bohey Dulang, Jendela Batu, kewujudan kawah seluas 40 kaki dan lain-lain lagi.

Disebalik keindahan Pulau Bohey Dulang yang memukau, umpama berlian yang jatuh di tengah lautan ianya sebenarnya menyimpan seribu persoalan misteri, sejarah dan khazanah yang belum diketahui umum.

Tidak banyak maklumat dan misteri perigi ini terbongkar, namun adakah tempat ini akan dibuka sebagai salah satu destinasi pelancongan di masa akan datang untuk tontonan para pelaoncong yang bertandang ke Pulau Bohey Dulang ?

Komen

Terbaru Lebih lama