Status Jambatan Pulau Bum-Bum Terjawab


Baru-baru ini tular sebuah gambar yang memaparkan surat rasmi yang dihantar oleh Datuk Hj Abd Hajan bin Hj Gurimbang Ketua Bahagian Sulabayan Parti Gagasan Rakyat Sabah bertarikh 16 Januari 2024. 

Isi surat tersebut adalah merujuk kepada Jabatan Kerja Raya berhubung isu status Jambatan Bum-Bum iaitu cadangan untuk meneruskan pembinaan jambatan tersebut. 

Surat rasmi tersebut telah mendapat maklum balas bertarikh 20 Februari 2024 yang menyatakan bahawa Kementerian Kerja Raya Malaysia telah memutuskan untuk membatalkan pelaksanaan projek tersebut sejak 2 April 2014 lagi. 

Maka dengan ini secara tidak langsung terjawablah pelbagai soalan dan teka-teki daripada orang ramai tentang status Jambatan Pulau Bum-Bum yang selama ini menjadi persoalan dan perdebatan dikalangan penduduk di Semporna amnya.


Pada 28 Februari 2012, peruntukan RM25 juta telah diluluskan oleh kerajaan ketika itu dibawah pemerintahan Pak Lah ( Tun Abdullah Ahmad Badawi ) untuk melaksanakan kerja-kerja pembinaan awal Jambatan Pulau Bum Bum.

Kos pembinaan jambatan itu dianggarkan sebanyak RM430 juta yang diumumkan melalui belanjawan di peringkat pusat tetapi malangnya tidak dilaksanakan. Dua tahun selepas itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menggesa agar kerajaan pusat mempercepat pembinaan jambatan berkenaan.

Sementara pada 2018, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak turut mengumumkan pembinaan jambatan menghubungkan Pulau Bum Bum dengan tanah besar Semporna.

Sedihnya, sehingga kini puluhan ribu penduduk Pulau Bum Bum masih berulang-alik ke tanah besar menggunakan bot. Walaubagaimanapun perjuangan wakil rakyat tempatan untuk merealisasikan impian ini masih diteruskan, siapa sangka dimasa hadapan projek jambatan ini akan menjadi realiti.

Komen

Terbaru Lebih lama